Home > Kembara Ilmu > Istanbul…Kota dua benua

Istanbul…Kota dua benua

Saturday, 6 March 2010 Leave a comment Go to comments

Masjid Biru

Istanbul..kota dua benua…itulah sinonim yang paling sesuai untuk dikaitkan dengan kota ini. 1453 masihi adalah tarikh keramat pembukaan kota ini oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Dahulunya kota ini dipanggil sebagai konstantinopol oleh Empayar Byzantine, sebuah kerajaan yang dikatakan mustahil untuk ditakluki kerana kubu mereka yang tebal dan kukuh, 3 lapisan dinding batu mengelilingi kota tersebut.

Pembukaan kota ini telah pun dijanjikan oleh Rasulullah SAW didalam hadisnya 700 tahun sebelum itu: ” Kamu akan pasti membebaskan Konstantinopol, sehebat-hebat Amir (Panglima Perang) adalah Amirnya dan sekuat-kuat pasukan adalah pasukannya.” (riwayat Imam Ahmad). Kehebatan Amir ini dibuktikan melalui kemampuan baginda dan askar-askarnya mengangkat kapal menyeberangi bukit untuk mengelak dari rantai besi yang dipasang menyeberangi selat Bosphorus. Kesan-kesan penaklukan masih lagi dapat dilihat pada hari ini disekitar kota Istanbul, justeru membuatkan kita mengagumi kehebatan Sultan Muhammad al-Fatih dan kebenaran janji Rasulullah SAW.

Dari 16 hingga 20 Februari 2010, GPTD France telah berkesempatan melawat kota Istanbul. Dengan pertolongan saudara Faiz Ali, korespondan GPTD di Turki, kami diaturkan bertemu dengan beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) di sana, bertepatan dengan misi kami dalam menjalinkan hubungan persaudaraan Islam dengan wakil-wakil disana. Dikesempatan ini kami telah bertemu dan melawat NGO-NGO tersebut:

  1. Bab-i Alem (International Student Association)
  2. IHH (Humanitarian relief)
  3. Bilim ve sanat Vakfi
  4. Hayrat Foundation
  5. Independent Industrialists & Businessmen’s Association (MUSIAD)
  6. Dr. Mustafa Ozel dari Foundation for Science and Arts

(Klik di pautan ini untuk maklumat lanjut mengenai NGO-NGO di atas.)

Tidak lengkap kembara kami tanpa perkongsian dan pertukaran idea disamping dapat menambahkan serta memantapkan ilmu di dada. Mungkin sedikit santapan rohani dapat kita berkongsi bersama.  Dipetik dari nukilan Bediuzzaman Said Nursi melalui salah satu koleksinya yang bertajuk “Belief and Man”:

“Kepercayaan (kepada kewujudan tuhan) menyebabkan manusia menjadi MANUSIA, malah lebih berkuasa.  Ketidakpercayaan menyebabkan manusia berubah menjadi binatang liar yang ganas. Jika dibandingkan antara manusia dan haiwan, haiwan dijadikan dengan keupayaan  yang  ‘sempurna’ dan selaras dengan tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Mereka kemudiannya belajar kondisi kehidupan mereka, hubungan dengan alam sekitar , dan hukum alam (law of life) dalam masa dua hari atau dua tahun, dan kemudian menjadi mahir. Ini bermaksud, untuk menyempurnakan tugas mereka, mereka tidak dibimbangi dengan keperluan mencari ilmu pengetahuan, bantuan haiwan lain atau merendah diri/merayu kerana ketidakupayaan mereka, tetapi hanya kepada keupayaan untuk bekerja dan terus hidup.”

Tambah Ustaz Said Nursi…

“Manusia memerlukan proses pembelajaran yang berterusan sepanjang hidup. Berbanding dengan haiwan, kesempurnaan dalam proses pembelajaran tidak boleh diperolehi dalam masa yang singkat, malah ia tetap tidak boleh mencapai 100% walaupun sehingga akhir hayatnya. Ini bermaksud tugas dan tanggungjawab semula jadi manusia dijadikan didunia hendaklah sentiasa dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan penghambaan diri kepada Yang Maha Pencipta. Dengan itu, kemampuan manusia terikat dengan pengetahuan tersebut. Asas, sumber dan ruh ilmu pengetahuan yang sebenar adalah kepercayaan kepada kewujudan Allah.”

Hasilnya, kita dapat lebih memahami hakikat hidup didunia dan menjawab persoalan-persoalan berikut:

  1. Siapakah Yang Maha Belas Kasihan yang mengatur hidupku teratur sebegini?
  2. Melalui kePemurahan siapakah aku diciptakan ke dunia?
  3. Melalui keAgungan siapakah aku dijaga dan dipelihara (dari bencana dan musibah)?

Lawatan kami dilengkapi dengan misi menjejak kesan ketamadunan Turki Uthmaniyyah di Istanbul. Siapa sahaja yang ke Istanbul tidak akan melepaskan peluang melawat Masjid Sultan Ahmed atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru. Dibina pada tahun 1609-1616, kini ia tersergam indah sebagai mercu tanda kota Istanbul.

Pemandangan didalam Masjid Biru

Kemudian kami ke Hagia Sophia yang terletak bertentangan dengan Masjid Sultan Ahmed. Ia dibina sewaktu zaman pemerintahan Byzantine dan fungsinya pada ketika itu adalah sebagai gereja, tanpa 4 menara yang mengelilinginya. Seusai kemenangan tentera Uthmaniyyah, Sultan Fatih terus sahaja mengarahkan pembersihan gereja tersebut dan menukarkan ia kepada sebuah masjid Ayasofya. Ia pernah terbakar beberapa kali dan jika diperhatikan, terdapat tiga jenis menara berbeza dari segi senibinanya. Ia kekal berfungsi sebagai masjid selama 482 tahun sebelum diwartakan sebagai muzium oleh Kamal Ataturk.

Ayasofya

Kami juga dibawa melawat Masjid Suleyman, sebuah masjid yang dibina oleh arkitek tersohor, Mimar Sinan atas perintah Sultan Suleyman Al-Qanuni atau Sultan Suleyman The Magnificient. Keindahan dan kecanggihan senibinanya telah memukau seorang arkitek moden barat sewaktu ia melawat masjid ini. Beliau dikatakan pernah duduk ditengah-tengah masjid sambil merenung ke kubah selama 5 minit seraya berkata ” I thought I was not an architect”. Begitulah dapat diilustrasikan kecantikan seni bina Mimar Sinan ini untuk menggambarkan kehebatan Sultan Suleyman Al-Qanuni yang berjasa dalam mengatur semula undang-undang Turki pada ketika itu.

Antara tempat-tempat bersejarah lain yang kami berpeluang melawati adalah diantaranya Istana Topkapi, Universiti Istanbul, Grand Bazaar, Masjid Rom, Makam Sultan Suleyman Al-Qanuni, Bukit Camliçar, IRCICA (Research Centre for Islamic History, Art and Culture) dan banyak lagi. Tidak berakhir catatan kali ini sekiranya dimuatkan dengan keindahan kota istanbul dan kemasyhuran sejarah Islam yang wujud di bumi bertuah tersebut.

Konklusinya, pengembaraan ilmu seperti  ke Istanbul menjadi platform kepada kami khas nya dan generasi muda amnya untuk mengagungkan sejarah Islam dan mengembalikan kembalikan kegemilangan ketamadunan Islam serta kesucian Agama itu sendiri. Akhir kata dari GPTD France, “Le voyage forme la jeunesse” yang boleh dimaksudkan “jauh perjalanan luas pemandangan”.

Advertisements
Categories: Kembara Ilmu
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: